Bismillahirrahmanirrahim

Setinggi-tinggi kesyukuran,puja dan puji kita panjatkan ke hadrat Allah yang sentiasa melimpahkan ni’mat dan kesejahteraan kepada makhluk dan hambaNYA. Selawat dan salam kita anjurkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam yang sentiasa mengharapkan kejayaan dan kelepasan kepada umatnya yang tercinta. Malah, kurnia dan limpah rahmat dido’akan untuk semua para syuhada’ dan para ulama’ yang meneliti dan menyambung jalan yang telah diterokai oleh baginda dan generasi ke generasi seterusnya hingga ke hari qiamat.

Tuesday, May 5, 2009

Apa iTu CiNtA ????

Cinta merupakan fitrah dan anugerah Ilahi yang amat istimewa dalam kehidupan seseorang insan. Menurut Kamus Dewan, cinta ialah perasaan atau berperasaan sangat sayang terhadap sesuatu seperti negara, orang tua, kebebasan dan lain-lain. Cinta juga diertikan sebagai kecenderungan seluruh hati yang terus-menerus ( kepada yang dicintai). Cinta membuahkan kesediaan hati, menerima segala keinginan pihak yang dicintainya dan mengutamakannya daripada diri dan harta sendiri. Malah, kecintaan yang sebenar akan membuatkan pencinta berasa bahawa kecintaan tersebut masih kurang. Apabila perasaan cinta membara dan subur tanpa mempunyai kefahaman dan penghayatan yang betul, seseorang itu akan kecundang dan tersungkur sehingga hilang hala tuju kehidupan. Cinta dalam erti kata yang sebenar amat global dan umum merangkumi cinta hamba kepada Penciptanya, cinta sesama manusia, ibu bapa dan sebaliknya, cinta sesama saudara seislam, cinta kepada kebahagiaan atau cinta kepada kesenangan.
Namun hari ini, istilah cinta telah ‘dicuri’ oleh arus kehidupan jahiliyyah yang berbau material dan kebendaan semata-mata. Rata-rata apabila kita tanyakan masyarakat tentang cinta, perkara pertama yang terlintas di fikiran mereka ialah percintaan antara dua insan yang berlainan jantina, Si Adam dan Si Hawa. Apa yang menyedihkan lagi, cinta yang sedang hangat diperkatakan ialah semasa sebelum perkahwinan kerana darah dara dan teruna itu masih panas dan manis! Astaghfirullah, wa na’uzubillahiminzalik. Lihatlah, betapa teruknya serangan pemikiran ke atas golongan remaja islam pada zaman moden ini.
Inilah realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat islam hari ini, kita amat mudah membiarkan kehidupan, pandangan, pemikiran malah kehidupan kita ‘dijajah’ oleh isme-isme dan pemikiran-pemikiran yang moden kononnya tetapi kita tidak sedar arus inilah yang menjadikan kita makin mundur, makin jauh daripada tujuan hidup kita yang sebenar, iaitu menjadi seorang hamba kepada TUHANnya.
Oleh yang demikian, sekiranya kita dapat menghayati cinta yang sebenar menurut perspektif islam, kita mampu menguruskan perasaan cinta yang lahir dari hati dengan baik, tanpa ada unsur-unsur negatif yang merosakkan perasaan cinta yang suci itu. Cinta yang suci dan luhur bersandarkan cinta kepada Tuhan akan membawa kebahagiaan dan keberkatan.
Menurut hukama’, cinta dapat dibahagikan kepada lima :
Ø Cinta manusia kepada Tuhannya
Ø Cinta manusia kepada dirinya
Ø Cinta kepada orang kerana kecantikannya
Ø Cinta kepada orang kerana ketinggian budinya
Ø Cinta kepada orang yang berjasa kepadanya

No comments:

Post a Comment