Bismillahirrahmanirrahim

Setinggi-tinggi kesyukuran,puja dan puji kita panjatkan ke hadrat Allah yang sentiasa melimpahkan ni’mat dan kesejahteraan kepada makhluk dan hambaNYA. Selawat dan salam kita anjurkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam yang sentiasa mengharapkan kejayaan dan kelepasan kepada umatnya yang tercinta. Malah, kurnia dan limpah rahmat dido’akan untuk semua para syuhada’ dan para ulama’ yang meneliti dan menyambung jalan yang telah diterokai oleh baginda dan generasi ke generasi seterusnya hingga ke hari qiamat.

Sunday, May 24, 2009

KePerluaN PeRasaAN TAHU daN RASa DalaM MengunDanG PerASAAN CinTA...????

Apakah yang cuba dibongkarkan melalui tajuk ini???
Peribahasa ‘Tak Kenal Maka Tak Cinta’ merupakan kata-kata yang biasanya didengari oleh kita. Namun, jarang sekali kita kaitkan perasaan TAHU dan RASA akan mengundang kepada perasaan CINTA. Persoalan ini akan terjawab melalui penulisan untuk tajuk pada kali ini. Ikuti perkembangan penulisan pada kali ini agar persoalan anda dapat dijawab dan persoalan tersebut tidak terus menghantui hari-hari anda. Ingat! Jangan biarkan diri anda diselubungi rasa tertanda tanya.

Semua orang TAHU bahawa dia adalah hamba Allah tetapi yang menyedihkan ialah tidak semua orang RASA bahawa dia adalah hamba Allah. Terdapat perbezaan diantara dua ayat ini. Orang yang TAHU dia adalah hamba Allah sedar bahawa dia mempunyai Tuhan untuk dipatuhi dan ditaati. Manakala orang yang RASA dipunyai Tuhan akan sentiasa yakin Allah selalu bersamanya walaupun dia berada dalam apa jua keadaan sama ada sedih atau gembira (La Tahzan, Innallaha Ma’ana) dan mengetahui Allah akan membantunya di kala susah dan senang asalkan dia bergantung sepenuhnya dengan Allah, mentaati segala perintahNya, meninggalkan segala laranganNya dan tidak sesaat pun terdetik dihatinya untuk meninggalkan Allah.

Nah, berbeza bukan? Selain itu, orang yang TAHU ada Allah akan menunaikan solat apabila tiba waktunya. Manakala, orang yang RASA ada Allah akan sentiasa bersedia untuk solat, malah menunggu-nunggu masa solat tersebut untuk bertemu Allah yang dianggapnya sebagai Kekasih hati. Bukan itu sahaja, orang yang TAHU kadang-kadang menyalahertikan kewujudan Allah iaitu hanya memerlukan Allah di kala susah sahaja. Apabila susah, dia akan banyakkan solat, banyakkan doa dan menaruh harapan kepada Allah. Sebaliknya, apabila senang, Allah sudah tidak diingat lagi atau semuanya semakin berkurangan untuk dilakukan sama ada solat atau berdoa.

Marilah kita baca dan hayati cerita teladan ini. Pada suatu hari, di sebuah kampung, Mak Limah tiba-tiba berasa sangat marah apabila kucingnya asyik berbunyi dan mengganggunya ketika dia sibuk menyediakan makan tengahari. “Ishh, kucing ni! Tak faham bahasa ka? Kejap lagi la aku bagi makan bah, tak nampak ka aku tengah sibuk ni!” tengking Mak Limah. Pak Harun yang asyik membaca surat khabar di meja makan menyampuk, “Hai, marah benar nampak! Bukankah diri sendiri yang bawa kucing tu balik ke rumah ni?”. “Memanglah saya yang bawa balik kucing ni...tapi saya bela kucing ni hanya untuk halau tikus ja...” jawab Mak Limah sambil menumis lauk asam pedas kegemaran suaminya. “Buat begitu pada kucing tak pa..jangan buat dengan Allah dahlah.” Mak Limah terperanjat. “Apa yang abang mengarut ni?”. Pak Harun neletakkan surat khabar yang baru habis dibacanya. “Manusia selalu perlukan Allah apabila dia berada dalam kesusahan, menangis, merayu dan meminta pertolongan. Tetapi bila kesusahan dah berakhir, Allah dilupakan, malah dalam solat pun boleh ingat benda lain,” kata Pak Harun sambil tersenyum sinis memandang isterinya. Mak Limah terdiam. Walaupun kata-kata suaminya agak tajam tapi itulah hakikatnya. Jauh di sudut hati Mak Limah bersyukur kerana kerana suaminya selalu mengingatkannya.

P/s : Semua watak yang terlibat hanyalah rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan mereka yang hidup atau yang telah kembali ke rahmatullah. Melalui cerita ini, jelas memperlihatkan kepada kita bahawa perasaan TAHU sahaja tidak cukup untuk mencapai tahap kemanisan iman tetapi perasaan TAHU perlulah diikuti dengan RASA kerana bila ada perasaan TAHU dan RASA adanya Allah, barulah kita akan dapat menCINTAi Allah dengan sepenuh jiwa dan raga bersesuaian dengan topik penulisan kali ini iaitu keperluan perasaan TAHU dan RASA dalam mengundang perasaan CINTA. Penulisan ini sekadar perkongsian ilmu Allah agar kita dapat memperbaiki diri sendiri...islah nafsak wad’u ghoirah...insyaAllah...mohon ampun kepada Allah jika ada salah dan silap dan asif juga kepada para pembaca. Sebarang komen atau kritikan adalah amat dialu-alukan..al-faqir illa robbiha...wallahu’alam..

BaGaImaNa UnTuk MenDapAt CiNtA Allah...?????

Cinta Allah kepada hambaNya tidak bertepi dan bersifat abadi. Namun demikian, cinta Allah perlu direbut dan diusahakan. Terdapat beberapa cara untuk merebut cinta Allah...

1) Membaca Al-Qur’an dan memahami maknanya.
2) Berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui
ibadah khususatau ibadah umum.
3) Sentiasa mengingati Allah.
4) Mengetahui dan memahami nama-nama Allah serta semua sifat-sifat Allah yang Maha
Sempurna dengan hati dan menghafalnya.
5) Merasakan hina dan merendah diri ketika berhadapan dengan Allah melalui solat fardhu.
6) Mengamalkan qiamullail, membaca Al-Qur’an dan istighfar pada waktu sepertiga malam
terakhir.
7) Duduk bersama mereka yang mencintai Allah seperti para ulama’ dan da’ie serta
mendengar nasihat mereka dan menjaga tutur kata kita agar kata-kata yang keluar
daripada mulut kita bukanlah perkataan yang sia-sia.
8) Menjauhi atau menghilangkan hal-hal yang boleh menghalang kita daripada mengingati
Allah dan kematian yang bakal tiba pada bila-bila masa sahaja.

Monday, May 18, 2009

SiaPakAH ORang-OrANG YanG DicINTAi OleH Allah...????

Alangkah indah apabila cinta kita terbalas !!
Siapakah orang-orang yang terbalas cintanya oleh Allah?? Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Maidah ayat 54 yang bermaksud : “Maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai Allah.”
Berdasarkan ulama tafsir, mereka yang dicintai Allah SWT ialah :

1) Attawabun (orang-orang yang bertaubat)
2) Al-Mutathohhirun (suka bersuci)
3) Al-Muttaqun (bertaqwa)
4) Al-Muhsinun (suka berbuat baik)
5) Sobirun (bersabar)
6) Al-Mutawakkilun (bertawakal kepada Allah)
7) Al-Muqsithun (berbuat adil)
8) Orang-orang yang berperang di jalan Allah dalam satu barisan seolah-olah satu bangunan yang kukuh
9) Orang yang berkasih sayang kerana Allah dan lembut kepada orang mukmin
10) Orang-orang yang menjaga dan menampakkan ‘izzah kehormatan diri orang muslim di hadapan orang
kafir
11) Orang yang berjihad di jalan Allah
12) Orang yang tidak takut dicela oleh manusia kerana beramal dengan apa yang terkandung dalam Al -
Qur’an dan As-Sunnah
13) Orang yang berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah sunnah setelah menyelesaikan ibadah wajib

Tuesday, May 5, 2009

Apa iTu CiNtA ????

Cinta merupakan fitrah dan anugerah Ilahi yang amat istimewa dalam kehidupan seseorang insan. Menurut Kamus Dewan, cinta ialah perasaan atau berperasaan sangat sayang terhadap sesuatu seperti negara, orang tua, kebebasan dan lain-lain. Cinta juga diertikan sebagai kecenderungan seluruh hati yang terus-menerus ( kepada yang dicintai). Cinta membuahkan kesediaan hati, menerima segala keinginan pihak yang dicintainya dan mengutamakannya daripada diri dan harta sendiri. Malah, kecintaan yang sebenar akan membuatkan pencinta berasa bahawa kecintaan tersebut masih kurang. Apabila perasaan cinta membara dan subur tanpa mempunyai kefahaman dan penghayatan yang betul, seseorang itu akan kecundang dan tersungkur sehingga hilang hala tuju kehidupan. Cinta dalam erti kata yang sebenar amat global dan umum merangkumi cinta hamba kepada Penciptanya, cinta sesama manusia, ibu bapa dan sebaliknya, cinta sesama saudara seislam, cinta kepada kebahagiaan atau cinta kepada kesenangan.
Namun hari ini, istilah cinta telah ‘dicuri’ oleh arus kehidupan jahiliyyah yang berbau material dan kebendaan semata-mata. Rata-rata apabila kita tanyakan masyarakat tentang cinta, perkara pertama yang terlintas di fikiran mereka ialah percintaan antara dua insan yang berlainan jantina, Si Adam dan Si Hawa. Apa yang menyedihkan lagi, cinta yang sedang hangat diperkatakan ialah semasa sebelum perkahwinan kerana darah dara dan teruna itu masih panas dan manis! Astaghfirullah, wa na’uzubillahiminzalik. Lihatlah, betapa teruknya serangan pemikiran ke atas golongan remaja islam pada zaman moden ini.
Inilah realiti yang sedang berlaku dalam masyarakat islam hari ini, kita amat mudah membiarkan kehidupan, pandangan, pemikiran malah kehidupan kita ‘dijajah’ oleh isme-isme dan pemikiran-pemikiran yang moden kononnya tetapi kita tidak sedar arus inilah yang menjadikan kita makin mundur, makin jauh daripada tujuan hidup kita yang sebenar, iaitu menjadi seorang hamba kepada TUHANnya.
Oleh yang demikian, sekiranya kita dapat menghayati cinta yang sebenar menurut perspektif islam, kita mampu menguruskan perasaan cinta yang lahir dari hati dengan baik, tanpa ada unsur-unsur negatif yang merosakkan perasaan cinta yang suci itu. Cinta yang suci dan luhur bersandarkan cinta kepada Tuhan akan membawa kebahagiaan dan keberkatan.
Menurut hukama’, cinta dapat dibahagikan kepada lima :
Ø Cinta manusia kepada Tuhannya
Ø Cinta manusia kepada dirinya
Ø Cinta kepada orang kerana kecantikannya
Ø Cinta kepada orang kerana ketinggian budinya
Ø Cinta kepada orang yang berjasa kepadanya

CiNta IbADah...???

Cinta ibadah adalah kecintaan yang menyebabkan timbulnya perasaan hina kepadaNya dan mengagungkanNya serta bersemangat hati untuk menjalankan segala perintah dan menjauhi segala laranganNya. Dengan erti kata yang lebih mudah, pokok kepada cinta ibadah ialah kecintaan kepada Allah Taala. Cinta yang demikian merupakan pokok keimanan dan tauhid yang pelakunya akan mendapatkan keutamaan-keutamaan yang tidak terhingga.
Jika keutamaan cinta diberikan kepada selain Allah, maka dia terjerumus ke dalam cinta yang bermakna syirik, iaitu menyekutukan Allah dalam hal cinta. Dengan kata lain, sekiranya seseorang melebihkan sesuatu atau manusia daripada Allah maka perbuatannya boleh sampai kepada syirik.
Cinta kerana Allah juga dikira sebagai cinta ibadah. Cinta kerana Allah ialah mencintai sesuatu yang dicintai Allah, baik berupa tempat tertentu, waktu tertentu, orang tertentu, amal perbuatan ucapan dan sebagainya. Cinta yang demikian termasuk cinta dalam rangka mencintai Allah. Selain daripada itu, cinta sesama manusia juga dianggap sebagai cinta ibadah, contohnya kasih sayang orang tua kepada anaknya dan sayangnya orang kepada fakir miskin, anak yatim dan orang sakit, cinta suami kepada isteri, cinta sesama saudara islam dan sebagainya. Malah islam menjadikan kecintaan (kesenangan) manusia kepada keperluan seharian yang akan membahayakan dirinya kalau tidak dipenuhi, seperti kesenangannya kepada makanan, minuman, pernikahan, persaudaraan serta persahabatan dan sebagainya. Semua perkara ini sebagai cinta ibadah dengan syarat kecintaan tersebut membantunya untuk mencintai dan mentaati Allah.
Contoh yang mudah, cinta suami kepada isteri dikira sebagai ibadah sekiranya seorang suami mencintai isteri kerana isteri adalah nikmat yang dikurniakan Allah untuk dia menikmati kehidupan dunia dengan lebih bahagia. Justeru, dia akan dapat meningkatkan kualiti diri sebagai hamba Allah. Kesimpulannya, kecintaan kepada selain Allah akan menjadi cinta ibadah jika menepati dua syarat, iaitu tidak bertentangan dengan syariah dan menepati al-Qur’an serta sunnah (mengikutinya).

CiNta ManusiA KeRana Allah MengunDang ciNta Allah

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. telah bercerita kepada sahabat : “Seorang lelaki telah pergi mengunjungi saudaranya yang berada di suatu tempat yang lain. Lantas Allah Taala telah mengirim malaikat untuk menunggunya di pertengahan jalan dan menahannya lalu berkata : “Kamu hendak ke mana?”. Lelaki itupun menjawab : “Aku hendak mengunjungi saudaraku”. Malaikat bertanya lagi : “Apakah sesuatu yang engkau perlukan daripadanya?”. Lelaki itu menjawab : “Tidak, hanya kerana aku mengasihinya semata-mata kerana Allah.” Kemudian malaikat berkata : “Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus Allah untuk memberitahu kepadamu bahawa Allah mencintaimu seperti engkau mencintai saudaramu keranaNya.”
Jelas menunjukkan cerita tersebut mengajar kita bahawa Allah menyayangi kita sama seperti apabila kita menyayangi atau mencintai saudara seislam.

P/s : Buat semua sahabat-sahabat/ ukhti-ukhti serta orang-orang kesayangan saya, saya ingin mengatakan bahawa saya sangat menyayangi kamu kerana Allah. Kita dipertemukan dan hati-hati kita telah bertaut dalam perjuangan islam ini, menjalani tarbiyyah bersama-sama dan disemai dengan bibit-bibit perjuangan islam kerana cintakan agama Allah ini, maka istiqomahlah dalam perjuangan islam ini demi mengejar keredhoan Allah... kita adalah mata-mata rantai perjuangan islam..moga usaha kita ini ikhlas kerana Allah dan ada nilaian disisi Allah sekaligus dapat menempatkan diri dalam syurga Allah...insyaAllah..

Monday, May 4, 2009

CiNtA mAksIAT....???

Cinta maksiat ialah cinta yang tidak berasaskan cinta kepada Allah. Termasuk di dalam kategori ini ialah mencintai perkara yang dibenci Allah, merealisasikan cinta dengan cara yang tidak diredhai Allah atau dengan cara yang bertentangan dengan syara’. Contohnya mencintai kekasih sehinggakan tidak menjaga batas-batas pergaulan.
Insan yang mempunyai keimanan yang teguh kepada Allah dapat mengelakkan dirinya daripada melakukan sebarang kesilapan dalam pergaulannya. Mereka memahami erti cinta yang sebenarnya dan bijak dalam menangani persoalan cinta yang akan menjadi sumber kekuatan dalam kehidupan berlandaskan prinsip-prinsip dan syariat yang ditetapkan olehNya.
Islam hanya membahagikan cinta kepada dua perkara iaitu dengan menjadikan cinta Allah sebagai paksi. Cinta yang berpaksikan cinta kepada Allah adalah cinta ibadah yang akan membawa bahagia di dunia dan akhirat, manakala cinta yang membelakangkan cinta kepada Allah adalah cinta maksiat yang mengundang dosa dan neraka.
Insan yang beriman sering kali meletakkan sandaran yang kukuh kepada Allah dan ajaran-ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Maka dalam percintaan, sering kali mereka bersikap tenang dan menyerah diri kepada ketentuan Allah. Hal ini kerana mereka yakin cinta yang suci dan luhur itu datangnya daripada Allah dan hanya Dia sahaja yang dapat menganugerahkan atau menghapuskan cinta itu. Allah adalah pencipta kepada cinta dan setiap penciptaanNya ada matlamat dan sebab serta kewujudan yang sering kali tidak difahami oleh manusia.
Realiti cinta menuntut pengorbanan daripada setiap individu. Cinta sering kali dikaitkan dengan keindahan, keselesaan, kehalusan perasaan, air mata dan sebagainya. Hal ini kerana cinta tidak hanya melibatkan perasaan semula jadi antara lelaki dan perempuan sahaja tetapi juga melibatkan perhubungan di antara manusia dengan Tuhan, manusia dengan alam serta manusia dengan perbuatan.