Penulisan kali ini seperti sebelum-sebelumnya iaitu sekadar perkongsian bersama. Beberapa hari yang lepas, dalam sesi usrah bersama sahabat yang disayangi kerana Allah memberi ilmu dan kesedaran terhadap diri ana. Usrah yang lebih kepada bentuk persoalan dan diskusi bersama bersesuaian dengan medium komunikasi yang digunakan. Walau jarak memisahkan, namun, itu bukanlah penghalang untuk berkomunikasi menerusi kecanggihan teknologi pada masa kini iaitu internet. Ana telah mengajukan soalan kepada sahabat ana tentang satu ayat penyata yang pernah dia hantarkan dekat ana menerusi pesanan ringkas (sms). Ayat penyata tersebut seperti ini ‘Izzati rasa izzati dah berjuang ka? Hmm, bagi akak, akak rasa akak belum berjuang lagi…,’ katanya. Mesej tersebut menyebabkan ana berfikir. Hal ini kerana sepanjang perkenalan ana dengannya dan sewaktu ana tinggal beberapa hari dengannya dulu, ana lihat dia sentiasa terlibat dengan program-program dan jika ana bermalam dirumahnya, dia akan membawa ana sekali.
Pernyataan yang dikemukakannya itu ternyata membuat ana tertanda tanya lalu ana menanyakannya semula kepada ukht, sahabat kesayangan ana apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh dia. Dia menjawab dengan tenang dan cuba membuatkan ana faham, ‘begini izzati, akak nak kongsi apa yang akak pernah dengar menerusi ceramah seorang ustaz tu, dia kata perjuangan ni memerlukan dua perkara penting iaitu keikhlasan dan pengorbanan. Belum dikatakan berjuang jika tanpa keikhlasan dan pengorbanan..’katanya. Biar kita ambil contoh situasi ini, kita lama tidak meluangkan masa dengan keluarga, jadi bila kita balik,kita nak sangat menghabiskan masa kita bersama keluarga. Maklumlah, lumrah belajar di perantauan, jarang balik. Tetapi pada masa yang sama, kita diperlukan untuk memberi komitmen di tapak program selama 5 hari. Dalam situasi inilah, pengorbanan perlu dilakukan sama ada kita pilih untuk bersama keluarga atau ke tapak program.
Seterusnya andai kita pilih ke tapak program, perkara penting yang menggalakkan beramal akan segala amal itu biarlah ikhlas kerana Allah. Namun, ikhlas kerana Allah bukanlah senang sebab kata seorang ustaz menerusi ceramahnya, niat ni kadang-kadang tidak dapat dipasang. Sebagai contoh, kita nak buat sesuatu tu kerana Allah pada awalnya, tetapi masa nak buat perkara tu tiba-tiba lintasan riya’ datang kat hati. Hal ini akan merosakkan amalan. Oleh itu, kata ustaz dalam usaha hendak memastikan kita memperolehi keikhlasan tersebut, kita hendaklah memulakan setiap apa jua kita lakukan dengan bismillah dan apa jua ucapan yang boleh mengingatkan kita kepada Allah.
Mudah-mudahan dengan cara tersebut akan dapat mengikhlaskan niat kita kerana Allah. Jadi, bila dah ada ikhlas dan pengorbanan, itulah ertinya perjuangan… Ana sedar bahawa perjuangan ni tinggi levelnya. Selain itu, perngorbanan juga biasanya dikaitkan dengan pemberian benda yang kita paling sayang. Sebagai contoh, harta yang kita ada. Marilah kita singkap betapa susahnya dan peritnya perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah dahulu demi menyampaikan yang haq. Rasulullah bergelumang dengan darah sehinggakan sebesar-besar ancaman iaitu baginda ingin dibunuh. Kita lihat juga bagaimana perjuangan para sahabat baginda, saidina umar misalnya, beliau telah menyerahkan harta baginda untuk digunakan ke jalan Allah, bilal bin rabah, khabbab bin al arat, abu zhar al ghifari,hanzalah dan banyak lagi yang menempuhi bermacam-macam demi islam tercinta.
Adanya keikhlasan dan pengorbanan, itulah perjuangan.. subhanallah,perjuangan yang dilalui mereka ternyata memperlihat kepada kita bukanlah senang untuk berjuang. Perjuangan bukanlah sebuah perjalanan yang dibentangkan dengan karpet merah sebaliknya penuh onak duri, berliku dan memerlukan kekuatan. Kekuatan pula akan kita perolehi apabila kita bergantung sepenuhnya dengan Allah. Insyallah bila kita rasa lemah ingatlah bahawa Allah tidak membebani hambaNya melainkan mengikut kemampuannya dan dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa yang menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan mengukuhkan kedudukannya. Seorang ustaz pernah berkata, jika perjuangan yang kita lalui menyebabkan kita berasa senang setiap masa, maka kita perlu risau dan periksa semula sama ada kita benar-benar berjuang atau tidak kerana perjuangan menuntut kepayahan. Pendek kata, berjuang memang pahit kerana syurga itu manis. Di sini ana sertakan beberapa kata-kata yang pernah dilafazkan oleh para pejuang islam. Moga-moga kita dapat mewarisi semangat kental mereka ketika di medan perjuangan.
As syahid Syed Qutb : “Dalam tiap perjuangan itu ada masa meningkat dan ada masa menurun. Kekalahan itu sebenarnya bermula apabila kita mula merasa lemah dan kemenangan itu bermula apabila kita tidak merasai kita kalah”. Katanya sebelum ke tali gantung, “ Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini, tetapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan Rasulullah dan akan diteruskan oleh generasi yang akan datang. Usahlah kamu gerun dengan tali gantung yang akan menjerut leherku ini”. Pesannya lagi “Jika kita ikhlas terhadap Allah, maka Allah akan bersama kita masa hidup mahupun kita mati”.
Imam Hassan al Banna : “Andai islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka akanku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka tetapi aku ingin hati-hati yang ikhlas untuk membantukudan bersama-sama membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah”,”Ummat yang pandai menciptakan satu seni untuk mati maka ummat itu akan dianugarahkan oleh Allah dengan satu ketinggian”.
Perkongsian seorang lagi sahabat kesayangan ana, sahabat ana membacakan kata-kata Khalid al Walid apabila ditanya oleh seorang ketua Farsi : “Bagaimana tentera yang sedikit dapat mengalahkan tentera Farsi yang ramai?” Beliau menjawab : “Kami mencintai mati seperti kamu mencintai hidup. Kamu BERJUANG untuk HIDUP, kami BERJUANG untuk MATI. Kami MENCINTAI MATI, sebab itu kami MENANG.” Pada waktu itu, cuba bayangkan 10 000 tentera islam dapat mengalahkan 100 000 tentera Farsi dan itulah jawapan disebalik kemenangan tentera islam.
Salam perjuangan….
No comments:
Post a Comment