“Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Namun, bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah jika bertemu dan berpisah kerana Allah.” Itulah dikatakan Ukhuwwah Fillah. Ukhuwwah yang terbina kerana Allah atas 1 aqidah, 1 fikrah dan 1 perjuangan yang sama sehinggakan keutamaan sahabat melebihi keutamaan diri sendiri. Indahnya sebuah ukhuwwah yang terbina kerana Allah ini bersesuaian dengan kata-kata Saidina Umar r.a. : “Tidak ada suatupun yang paling berharga yang dimiliki oleh seseorang insan selepas nikmat IMAN dan ISLAM melainkan SAHABAT yang SOLEH/SOLEHAH. Apabila kamu mendapati wujudnya kasih sayang kamu kepadanya, maka, hargailah ia dengan sungguh-sungguh.”
Jika kita singkap sejarah silam, betapa bernilainya Ukhuwwah Fillah yang dapat kita lihat diantara 3 pemuda. Mereka sanggup mendahulukan sahabat mereka untuk meminum air sehinggakan ketiga-tiga sahabat tersebut menghembuskan nafas terakhir tanpa ada seorang pun yang sempat meminumnya. Lihatlah, sampai begitu sekali kasih sayang yang terbina diantara mereka dan kasih sayang inilah sebenarnya yang menguatkan umat islam pada suatu ketika dahulu. Sejarah telah membuktikan, dalam usaha Rasulullah mewujudkan Negara Islam, pertama kali baginda lakukan setibanya di Madinah ialah mempersaudara kaum Ansar dan Muhajirin.
Ukhuwwah islamiyyah tersebut telah mencetuskan semangat perpaduan yang akhirnya membawa kepada Zaman Kegemilangan Islam suatu ketika dahulu sebelum Khilafah Islamiyyah dihapuskan oleh Kamal At Tartuk. Ukhuwwah tidak ternilai harganya dan seorang insan mampu tersenyum ataupun menitiskan air mata kesyukuran serta keharuan di atas sebuah persahabatan. Alhamdulillah, begitulah yang telah ana rasakan apabila diberi kesempatan oleh Allah dan atas izinNya, ana telah menemui sahabat-sahabat yang diibaratkan permata disebalik timbunan kaca.
Bukan setakat memiliki gelaran kakak/adik/ukhti mahbubi tetapi pada masa yang sama sebagai sahabat kesayangan. Bagi ana, sahabat-sahabat yang ana temui ini menjadi cermin kepada diri ana sendiri untuk menampal kelompangan dan sentiasa ada disaat ana berada dalam suka atau duka. Malah, sahabat-sahabat ini jugalah yang sentiasa menasihati ana tanpa ada rasa jemu bersesuaian dengan sabda Rasulullah : “Ad-Dinun Nasihah (Agama itu adalah nasihat)” dan memberi sokongan, dorongan serta doa walaupun berjauhan. Kemanisan ukhuwwah menyebabkan ana terpanggil untuk menulis artikel ini sebagai tatapan bersama. Ana ingin berkongsi sedikit pengalaman yang ana rasai ketika bersama beberapa orang sahabat kesayangan lillahi ta’ala.
Mudah-mudahan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita, insyallah. Sungguh, ana tersentuh apabila mendengar percakapan seorang sahabat ana ini. Hari pertama ana tinggal dengannya, ana telah mengemukakan persoalan. Jika tidak silap ana, pertemuan pertama kami juga dimulakan dengan sebuah persoalan. Namun, persoalan hari pertama tinggal bersamanya itu menyentuh hati ana. Bertitik tolak daripada perlakuannya yang belum pernah ana lihat sebelum ini iaitu selepas membersihkan diri, dia telah memakai bajunya yang cantik dan baju itu jarang sekali dipakainya sebelum ini. Dia juga mengenakan bedak di mukanya dan minyak wangi. Ana berasa pelik kerana sepanjang perkenalan kami, ana tidak pernah melihat persiapan yang sebegini rapi pernah dibuatnya. Kemudian, persoalan itu pun diajukan oleh ana kepadanya.
“Kak, kakak mahu jalan ka? Cantik ja ni,” kataku. Dia menjawab secara ringkas “Tidaklah.” Ana meneruskan persoalan ana “Tapi cantik betul ni. Oooh, mahu jumpa kekasih hati ya?.” Dia menjawab “Ya.” Riak muka ana berubah mungkin disebabkan terkejut dengan jawapan tersebut. Dia menyedari perubahan tersebut lalu berkata, “Akak memang nak jumpa kekasih hati akak. Mana boleh akak tak nampak cantik dihadapan kekasih hati akak. Dialah memiliki segala-galanya apa yang ada dekat akak ni. Izzati mesti nak tahu siapa kekasih hati akak kan? Kekasih hati akak ialah Allah. Akak nak solat jadi akak ada temujanji dengan kekasih hati akak,” katanya sambil tersenyum.
Subhanallah, terkejut ana dan ana berfikir. Mutakhir ini, remaja lebih cenderung menggunakan ‘title kekasih hati’ mereka untuk ditujukan kepada insan yang mereka cintai. Mendahulukan insan dan membelakangkan Pencipta mereka iaitu Allah. Mereka lupa kepada Pencipta mereka yang telah mencampakkan rasa cinta itu dalam hati mereka sehingga mereka dapat merasai cinta sesama manusia. Logik akal, bukankah sepatutnya kita mencintai Pencipta kita terlebih dahulu yang memberi nikmat cinta itu sebelum mencintai makhluknya?
Sahabat ana yang seterusnya menyedarkan ana. Semuanya bermula sewaktu berprogram bersama-sama. Walaupun belum berapa mesra dan baru menghulurkan salam perkenalan tetapi seolah-olah seperti ada sesuatu yang ana ingin tahu tentang dirinya. Pada satu malam, ana tidur lewat disebabkan komitmen di tapak program. Setelah memastikan semua rakan-rakan peserta tidur, ana pun bersiap sedia untuk tidur. Belum sempat ana melelapkan mata, pintu dewan tersebut berbunyi sebagai tanda ada orang baru nak masuk tidur. Ana bangun dan lihat walaupun dalam keadaaan gelap yang hanya diterangi dengan sedikit cahaya lampu dari luar dewan tersebut. Ana lihat sahabat ana ni baru nak tidur. Jam menunjukkan 2 pagi.
Tentatif program pada besoknya bermula jam 3.30 pagi. Hati ana berbisik “Mampukah sahabat ana ni bangun awal nanti?.” Ana biarkan soalan itu dan memejamkan mata. Kebetulan sahabat ana itu tidur berdekatan ana. Cuaca yang sejuk menyebabkan ana bangun pada jam 3 pagi. Alhamdulillah, dengan izinNya, ana masih diberikan nikmat umur yang panjang dan bangun awal untuk menunaikan qiamullail. Pada waktu itu, ana ingatkan belum ada yang bangun memandangkan masih tinggal 30 minit lagi untuk bermulanya tentatif program. Namun, tanggapan ana ternyata silap. Sahabat ana telah tiada di tempat tidurnya. Ana tertanda tanya, “Ke mana dia menghilang?.” Ana bergegas membersihkan diri dan bergerak ke surau. Setibanya ana di surau, rupa-rupanya sahabat ana telah pun berada di sana dan menunaikan solat malam (qiamullail).
Subhanallah, saat ana melihat wajah sahabat ana seolah-olah terdapat cahaya yang indah pada wajahnya. Terdetik di hati ana, “Ya Allah, mungkin itulah cahaya yang terpancar di wajah orang-orang yang beriman. Cahaya yang unik dan memberikan ketenangan kepada mereka yang melihatnya”. Seterusnya, seorang lagi sahabat ana yang disayangi kerana Allah. Kenangan itu terukir saat berada dalam bulan ramadhan. Sewaktu ana tinggal beberapa hari bersamanya, selepas selesai menunaikan solat zohor secara berjemaah, ana melihat dia membaca al-Qur’an. Kemudian, dia berkata, “Mari kita tadarrus bersama-sama.” Kami pun bertadarrus bersama-sama. Sahabat-sahabat inilah yang sedikit sebanyak mentarbiyyah diri ana dengan izin Allah. Tiga orang yang berbeza pada fizikal tetapi mempunyai persamaan dalam matlamat hidup mereka iaitu ingin mendapat keredhaan Allah dan redha Allah itulah yang membawa ke Syurga. Ramai lagi sahabat-sahabat ana yang ingin ana ceritakan. Mungkin, pada masa yang lain.
Moga ukhuwwah yang terbina diantara kami semua ini diredhai Allah dan mendapat naungan daripada Allah kelak di padang mahsyar. Dua orang yang saling menyayangi kerana Allah. Selain itu, moga ukhuwwah kami seperti dalam hadis ini, diriwayatkan dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Allah itu mempunyai hamba yang kelak di hari kiamat disediakan untuk mereka mimbar. Mereka adalah kaum yang pakaiannya bercahaya dan wajah bersinar. Mereka bukan para nabi dan syuhada’. Bahkan para nabi dan syuhada’ iri hati pada mereka. Maka para sahabat bertanya Rasulullah, siapakah mereka itu? Nabi menjawab, mereka adalah orang-orang yang berkasih sayang kerana Allah, selalu mengunjungi kerana Allah dan bergaul dengan baik kerana Allah.”
Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi (perintah)Mu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini dan tunjukkanlah hati-hati ini akan jalanNya (yang sebenar). Penuhkan (piala) hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu..(Jika Engkau mentaqdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini.
Buat sahabat-sahabatku semua yang kukasihi kerana Allah,insyallah…pesanku..
Sahabat,aku bangga melihatmu derita dalam perjuangan menegakkan Islam semula daripada melihatmu gembira dalam kelalaian. Aku bangga mendengar tangisanmu kerana pengorbanan daripada melihat tawamu dalam pengkhianatan. Aku bangga andai kau mati di medan kebenaran daripada hidup dalam kesesatan..kerana jangan lupa sahabat, mulianya kita bukan kerana pangkat dan harta tetapi kerana Agama Islam yang kita pegang…..
Sahabat,aku bangga melihatmu derita dalam perjuangan menegakkan Islam semula daripada melihatmu gembira dalam kelalaian. Aku bangga mendengar tangisanmu kerana pengorbanan daripada melihat tawamu dalam pengkhianatan. Aku bangga andai kau mati di medan kebenaran daripada hidup dalam kesesatan..kerana jangan lupa sahabat, mulianya kita bukan kerana pangkat dan harta tetapi kerana Agama Islam yang kita pegang…..
Secebis hati seorang insan bernama sahabat…
Salam Perjuangan,Syukran lillah wa Alhamdulillah..
Salam syg ukhti.
ReplyDeleteSmga ukhuwah kta yg dibina brterusan umpama butiran tasbih.yg ada mulanya, tiada penghujungnya.
Mhon tguran andai adk da buat silap ya :)
nice post!