‘Maka benarlah bahawa dunia ini umpama semalam yang ditinggalkan, hari ini, ia sudah tidak membawa kesan, maka, rugilah bagi orang yang bersedih dan susah hati kerana dunia yang fana…..’
Begitulah kata-kata daripada seorang sahabat yang ana kasihi kerana Allah pada suatu ketika dahulu. Hari ini ana mengingatinya semula. Mungkin ada kaitannya dengan apa yang ana bincangkan hari ini dengan sahabat kesayangan ana yang jauh di mata tetapi dekat di hati menerusi perbualan kami menggunakan ‘handphone’. Katanya, kenangan yang lama akan diganti dengan kenangan yang baru. Ya, jika difikirkan, kenapa kita perlu menoleh ke belakang lagi sedangkan perjalanan dihadapan masih jauh? Let bygones be bygones. Apa yang penting, kita harus merancang masa hadapan. Usah ditangisi masa yang lalu tetapi pastikan masa hadapan dirancang dengan sebaik mungkin.
‘Kita patut BERSYUKUR kerana hari ini kita masih BANGUN SENDIRI, bukan ORANG LAIN yang ‘MENGEJUTKAN’ kita. Kita MANDI SENDIRI, bukan ORANG LAIN YANG MEMANDIKAN kita. Kita PILIH dan MEMASANGKAN PAKAIAN kita SENDIRI, bukan ORANG LAIN YANG PILIH dan MEMASANGKANNYA kerana kalau orang lain memilih dan memasangkan kita PAKAIAN, sudah tentunya PAKAIAN tersebut daripada KAIN yang berwarna PUTIH. Kita juga masih BERJALAN SENDIRI keluar dari rumah, bukan ORANG LAIN yang MENGUSUNG JENAZAH kita keluar dari rumah. Kita masih mampu MENUNAIKAN SEMBAHYANG dan bukannya ORANG LAIN yang MENYEMBAHYANGKAN JENAZAH kita. BERSYUKURLAH kerana Allah masih memberikan kita peluang merasai nikmat usia yang panjang dalam keadaan kita BERPEGANG PADA AGAMA ISLAM dan MEMILIKI NIKMAT IMAN…’
Kata-kata yang cukup menginsafkan kita. Sejenak, entah kenapa pada hari ini ana berasa cukup terpanggil untuk menulis artikel ini. Ana mengimbas kembali perjalanan ana dalam meniti kehidupan yang sementara di dunia ini. Detik kematian itu akan pasti berlaku dan akan dirasai oleh setiap insan seperti dalam Al-Qur’an, surah Ali Imran, ayat 185 yang bermaksud : “Setiap yang bernyawa akan merasakan mati…..” Kematian tiba tanpa pemberitahuan, amaran ataupun petanda. Tiada siapa yang dapat mengetahui RAHSIA Allah ini melainkanNYA. Mutakhir ini, majoriti daripada golongan remaja berfikir bahawa hari ulangtahun kelahiran perlu disambut secara besar-besaran dengan menganjurkan parti hari jadi, meniup kek dan sebagainya. Sedangkan, mereka lupa bahawa usia semakin meningkat menandakan kematian semakin hampir.
Bukanlah bermaksud ana melarang sambutan hari kelahiran diadakan tetapi alangkah lebih indah dan lebih beertinya jika sambutan hari kelahiran itu diadakan dengan menambahkan amal ibadah yang mendekatkan kita dengan Allah? Misalnya, beristighfar menangisi dosa-dosa yang lalu, menambahkan amalan sunat seperti solat taubat, sujud kesyukuran, muhasabah tentang bagaimanakah erti pelayaran usia kita sehingga kini dan mengingati mati semakin hampir menjemput kita agar kita lebih bersedia menyiapkan segala bekalan hidup kita untuk menemui Pencipta kita kelak. InsyAllah, itu lebih afdhal untuk kita lakukan ketika menjelangnya hari ulangtahun kelahiran kita. Masih belum terlambat untuk kita melakukan perubahan dan bertaubat selagi hayat dikandung badan.
Kepada sahabat2 yang telah menyambut ulangtahun kelahiran, ana ucapkan selamat menyambut ulangtahun kelahiran. Moga semakin lanjut usia kita ini, kita menyedari hakikat usia kita tidak akan bertahan lama. Roh pasti akan berpisah dari jasad! Gunakanlah sisa-sisa usia yang masih ada dengan sebaik mungkin agar kita tidak merasa jauh dengan Allah. Manakala, sahabat2 ana yang bakal menyambut hari ulangtahun kelahiran, ana harapkan di hari tersebut malah hari2 yang seterusnya, amal ibadah kita semakin meningkat bersesuian dengan meningkatnya umur kita, insyAllah.
Sebelum mengakhiri artikel ana pada kali ini, ingin ana kongsikan cerita ini untuk renungan bersama yang dipetik daripada sebuah buku berjudul “Mati suatu peringatan”. Seorang ulama bernama Yazid Ar-Raqash, suatu ketika, beliau telah mengadakan sesi ucapan khas untuk dirinya sendiri, menasihati diri dan menghitungnya. Beliau melakukannya kerana sudah banyak kuliah atau khutbah yang diucapkannya untuk menasihati orang lain dan kali ini beliau ingin menasihati dirinya sendiri. Beliau mengemukakan soalan kepada dirinya sendiri : “Wahai Yazid Ar Raqash, siapakah yang akan mengerjakan solat fardhu bagi dirimu selepas kamu mati?”. Beliau sedar bahawa solat yang dilakukannya selama ini diibaratkan seperti seorang murid yang memasuki ujian peperiksaan tetapi keputusan ujian itu dirahsiakan.
Bolehkah dia yakin bahawa dia akan lulus ujian tersebut? Semuanya menjadi teka teki yang keputusannya hanya akan diketahui apabila catatan amal seseorang itu dibentangkan oleh Allah dihari hisab di Padang Mahsyar kelak. Sebelum tibanya detik itu, tiada seorang pun yang merasa pasti akan nasib solat itu sama ada ia telah dibawa ke langit oleh para malaikat yang bertugas dengan jayanya dan dapat melepasi pintu-pintu langit sehingga akhirnya sampai ke pangkuan Allah ataupun solat itu dilontarkan oleh malaikat akibat kecacatan yang terdapat semasa melakukannya? Na’uzubillahiminzalik..
Marilah kita berikhtiar membaiki solat kita agar mendapat solat yang khusyuk dan sempurna. Solat yang disertai dengan hati dan ingatan kita tertumpu hanya pada Allah. Solat yang dilengkapi dengan rukun dan syarat2nya. Rasulullah dalam sebuah hadithnya menyebut : Jadikanlah solat yang kamu dirikan itu sebagai solat yang terakhir dalam hidupmu.” Dalam hadithnya yang lain, Rasulullah menjelaskan : Beramallah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari.” Wallahu’alam..