Bismillahirrahmanirrahim

Setinggi-tinggi kesyukuran,puja dan puji kita panjatkan ke hadrat Allah yang sentiasa melimpahkan ni’mat dan kesejahteraan kepada makhluk dan hambaNYA. Selawat dan salam kita anjurkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam yang sentiasa mengharapkan kejayaan dan kelepasan kepada umatnya yang tercinta. Malah, kurnia dan limpah rahmat dido’akan untuk semua para syuhada’ dan para ulama’ yang meneliti dan menyambung jalan yang telah diterokai oleh baginda dan generasi ke generasi seterusnya hingga ke hari qiamat.

Tuesday, July 14, 2009

KisAH Ummu FaiSal (CINtanya beralih arah MembaWa kePADA cINTA haKIki)

Mentari masih berada di ufuk barat, tapi cahayanya kian hilang kerana hari semakin beransur petang. Seorang pemuda masih lagi mengerjakan tawaf mengelilingi rumah suci bersama ratusan manusia yang sedang mengerjakan umrah. Sambil matanya liar mencari sesuatu, ia masih ingat beberapa hari yang lepas ia terpandangkan wanita itu, tapi hari ini dia telah tiada, mungkin dia telah ke khemahnya. Hari tersebut Allah masih belum mengizinkan untuk bertemu dengannya. Pemuda itu kembali ke tempat penginapannya dengan rasa kehampaan. Ia tidak dapat tidur sepanjang malam. Wajah wanita itu datang silih berganti. Ia kagum pada kejernihan dan ketenangan wajah wanita tersebut. Setiap kali pemuda itu mengerjakan tawaf pasti ia terpandangkan wajah wanita tersebut yang begitu tenang dan syahdu bermunajat kepada Allah. Kelakuannya diperhatikan pemuda itu tanpa jemu, khusyuk sungguh wanita itu beribadah dan bertawaf, mulutnya tidk berhenti berzikir memuji Allah. Walaupun wanita itu telah berumur tapi ketenangan dan kebersihan wajahnya telah menampakkan dia lebih muda dari usianya yang sebenar. Dia tidak pernah berhenti dari mengerjakan tawaf mengelilingi rumah suci itu. Dia tidak pernah rehat dan membuang masa. Kalau dia berhenti dari mengerjakan tawaf, dia akan solat sunat, memebaca Al-Qur’an atau berzikir kemudian menyambung lagi tawafnya. Hebat sungguh kekuatan yang ada pada dirinya. Kalau dibandingkan dengan pemuda itu yang masih muda pun terasa letih dan lenguh, inikan pula seorang wanita yang sudah berumur.
Pemuda itu teringin berjumpa dan berbual dengan wanita itu untuk mengetahui latar belakang hidup wanita tersebut. Pemuda itu berwudhuk dan solat serta berdoa memohon ampun agar Allah mengampuni dosanya mengingati seorang perempuan. Akhirnya Allah izinkan juga pemuda itu berjumpa dengan wanita tersebut. “Assalamu’alaikum...” tegur pemuda tersebut.
“Wa’alaikumussalam...” jawab wanita tersebut.
“Maafkan saya, puan. Saya ingin bertanyakan sesuatu. Telah lama saya perhatikan puan, puan kelihatan tidak letih dan jemu mengerjakan tawaf. Puan juga kelihatan khusyuk dan tidak menghiraukan langsung orang-orang di sekitar puan. Apakah yang menyebabkan puan merasa lazat dan bersungguh-sungguh dalam mengabdikan diri kepada Allah? Saya harap puan mahu bercerita dengan saya agar saya dapat menjadikannya pedoman kelak...”
Melihat pada kesungguhan lelaki itu bertanya, wanita itu diam sebentar, dia termenuang, wajahnya tiba-tiba sedih. Lalu dia pun berkata sepatah demi sepatah.....
“Saya sebenarnya tidak suka orang tahu mengenai liku-liku kehidupan saya. Mungkin saudara tidak percaya, tapi moga cerita saya ini boleh saudara jadikan teladan pada hidup saudara kelak. Asalnya saya tinggal di perkampungan Oasis yang terletak di negeri Yaman. Saya telah berkahwin dengan suami saya 18 tahun yang lalu dan kami dikurniakan dengan 4 orang cahaya mata. Tiga lelaki dan seorang perempuan. Siti Asma’ adalah anak perempuan saya yang sulung dan sudah pun berumah tangga. Faisal berumur 10 tahun, Ikrimah berumur 8 tahun dan yang bongsu Zaid. Tapi kini semua sudah tiada lagi. Mereka telah dijemput Allah kembali padaNya. Peristiwa kematian itu berlaku ketika mereka menyambut Hari Raya Korban. Pada hari itu, suamiku menyembelih korban dan perbuatan menyembelih itu diperhatikan oleh anak kedua saya yang belum begitu cerdik. Memang menjadi kebiasaan pada anak-anak mudah meniru setiap perbuatan yang dilakukan oleh orang tuanya. Saya tidak menyangka perbuatan menyembelih itu akan dilakukan pada adiknya. Suatu hari, ketika bermain-main dengan adiknya, anak saya Faisal telah membaringkan adiknya, Ikrimah dan disembelihnya sebagaimana ayahnya menyembelih kambing. Kebetulan ketika itu kami tidak ada di rumah kerana pergi memetik buah. Saya hanya mendengar dari jauh jeritan Ikrimah yang meminta tolong. Apabila sampai, saya melihat darah memancut-mancut keluar dari lehernya yang hampir putus. Dia tidak dapat diselamatkan dan meninggal di situ juga”.
“Kami mengurus jenazah Ikrimah, setelah selesai baru kami perasan bahawa Faisal telah tiada. Mungkin dia ketakutan dan tidak menyangka semua itu boleh berlaku. Suami saya dalam keadaan yang masih terganggu fikirannya dan terkejut dengan peristiwa itu telah mengejar anak kami yang lari dengan harapan dapat menyelamatkan anak kami, Faisal dari tersesat di padang pasir dan dimakan serigala. Dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, mereka tidak juga balik. Saya masih tetap menunggu mereka dengan seribu harapan agar mereka kembali dengan selamat. Tapi nampaknya hampa. Saya yakin, kedua-duanya mati kebuluran di tengah padang pasir yang kering kontang itu. Suatu hari, sewaktu fikiran saya sedang tidak menentu mengingatkan anak dan suami, saya biarkan anak kecil saya, Zaid yang masih merangkak-rangkak bermain bersendirian.Tanpa disangka-sangka dia telah mencapai cerek air panas yang sedang menggelegak. Seluruh tubuhnya melecur akibat terjirus air panas tersebut. Menjerit melolonglah anak saya itu sehingga akhirnya ia mati. Jiran-jiran saya ramai yang datang setelah mendengar jeritan saya dan mereka sempat memberitahu anak sulung saya yang tinggal berdekatan dengan rumah saya. Siti Asma’ yang sarat mengandung terburu-buru datang ke rumahku. Apabila ia melihat keadaan adiknya yang mati kerana teruk melecur itu, dia terus pengsan kerana terkejut. Muka Siti Asma’ disapukan air tetapi dia masih tidak sedar. Bila diperiksa nadinya, ternyata dia juga telah meninggal dunia. Kedua-dua anak saya telah pulang ke rahmatullah dan jenazah mereka berdua telah selamat dikebumikan”.
“Alangkah sedihnya. Di mana lagi saya nak sandarkan hati saya ini dan ke mana saya nak bawa diri saya? Beban yang terlalu berat saya rasakan dan hanya Allah yang dapat meringankannya. Alhamdulillah, sekarang saya tenang dan CINTA serta rindu saya hanyalah untuk Allah. Saya akan taat dan berbakti hanya untuk Allah sahaja. InsyaAllah. Sedarlah wahai saudara bahawa ujian hidup datang dalam pelbagai bentuk dan ia datang tanpa diundang. Kalau ianya tidak ditempuhi dengan keimanan kepada Allah, nescaya manusia pasti karam dan tenggelam serta mati lemas di dalamnya”.
Perempuan itu mengakhiri ceritanya dan pergi meneruskan ibadahnya seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa padanya. Begitulah kisah srikandi islam yang berhadapan dengan berbagai ujian dan penderitaan dalam hidupnya. Kekuataannya hanyalah satu iaitu CINTA kepada Allah. Begitulah kekuasaan CINTA Allah.

No comments:

Post a Comment