Bismillahirrahmanirrahim

Setinggi-tinggi kesyukuran,puja dan puji kita panjatkan ke hadrat Allah yang sentiasa melimpahkan ni’mat dan kesejahteraan kepada makhluk dan hambaNYA. Selawat dan salam kita anjurkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam yang sentiasa mengharapkan kejayaan dan kelepasan kepada umatnya yang tercinta. Malah, kurnia dan limpah rahmat dido’akan untuk semua para syuhada’ dan para ulama’ yang meneliti dan menyambung jalan yang telah diterokai oleh baginda dan generasi ke generasi seterusnya hingga ke hari qiamat.

Tuesday, July 14, 2009

KeKuAsaaN CiNtA.....????

Cinta sememangnya berkuasa jika cinta itu diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Dalam erti kata lain iaitu mencintai Pencipta kita terlebih dahulu iaitu Allah sebelum mencintai makhlukNya. Hal ini kerana perlu diingatkan bahawa perasaan cinta yang dapat dirasai oleh setiap manusia di muka bumi ini tidak akan dapat ia rasakan keindahan cinta tersebut kepada sesiapa pun melainkan dengan izin Allah. Hebatnya nikmat cinta yang Allah berikan ini. Oleh yang demikian, letakkanlah cinta Allah yang paling tinggi mengatasi cintamu kepada yang lain. Namun demikian, persoalannya, mengapa generasi pada hari ini jika disebut perkataan cinta sudah semestinya cinta yang bermain difikiran mereka ialah cinta diantara lelaki dan perempuan sahaja? Seolah-olah cinta itu hanya wujud diantara dua jantina yang berlainan iaitu lelaki dan perempuan. Hakikatnya, cinta itu skopnya sangat luas. Cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah, para nabi, ibu bapa, guru-guru dan sebagainya. Hal ini memperlihatkan kepada kita betapa berkesannya serangan pemikiran daripada musuh islam membuatkan generasi sekarang hanya memfokuskan istilah cinta itu untuk percintaan dua insan akibat pengaruh daripada media massa dan media elektronik yang kebanyakannya memperlihatkan filem-filem percintaan dua insan ini. Natijahnya, percintaan dua insan ini atau cinta anta-anti mengatasi cintanya pada Allah dan yang lain. Kita sering mendengar cinta itu buta. Sebenarnya, bukan cinta itu yang buta tetapi pemilik cinta itu yang harus dikatakan buta kerana ia telah menyalahgunakan nikmat cinta pemberian Allah ini. Justeru, penulisan pada kali ini akan memperlihatkan perbezaan dua kisah cinta yang terjadi pada dua zaman yang berlainan iaitu kisah ummu faisal (cintanya beralih arah membawa kepada cinta hakiki) dan kisah Aisyah Bukhari (cinta yang membawa kepada murtad, wal ‘iyadhubillah). Kisah ini bukanlah bertujuan untuk mengaibkan mana-mana pihak tetapi untuk pengajaran dan pedoman buat kita bersama dalam usaha meletakkan cinta kita sesuai pada tempatnya serta memperolehi cinta hakiki dan abadi iaitu cinta Allah.

KisAH Ummu FaiSal (CINtanya beralih arah MembaWa kePADA cINTA haKIki)

Mentari masih berada di ufuk barat, tapi cahayanya kian hilang kerana hari semakin beransur petang. Seorang pemuda masih lagi mengerjakan tawaf mengelilingi rumah suci bersama ratusan manusia yang sedang mengerjakan umrah. Sambil matanya liar mencari sesuatu, ia masih ingat beberapa hari yang lepas ia terpandangkan wanita itu, tapi hari ini dia telah tiada, mungkin dia telah ke khemahnya. Hari tersebut Allah masih belum mengizinkan untuk bertemu dengannya. Pemuda itu kembali ke tempat penginapannya dengan rasa kehampaan. Ia tidak dapat tidur sepanjang malam. Wajah wanita itu datang silih berganti. Ia kagum pada kejernihan dan ketenangan wajah wanita tersebut. Setiap kali pemuda itu mengerjakan tawaf pasti ia terpandangkan wajah wanita tersebut yang begitu tenang dan syahdu bermunajat kepada Allah. Kelakuannya diperhatikan pemuda itu tanpa jemu, khusyuk sungguh wanita itu beribadah dan bertawaf, mulutnya tidk berhenti berzikir memuji Allah. Walaupun wanita itu telah berumur tapi ketenangan dan kebersihan wajahnya telah menampakkan dia lebih muda dari usianya yang sebenar. Dia tidak pernah berhenti dari mengerjakan tawaf mengelilingi rumah suci itu. Dia tidak pernah rehat dan membuang masa. Kalau dia berhenti dari mengerjakan tawaf, dia akan solat sunat, memebaca Al-Qur’an atau berzikir kemudian menyambung lagi tawafnya. Hebat sungguh kekuatan yang ada pada dirinya. Kalau dibandingkan dengan pemuda itu yang masih muda pun terasa letih dan lenguh, inikan pula seorang wanita yang sudah berumur.
Pemuda itu teringin berjumpa dan berbual dengan wanita itu untuk mengetahui latar belakang hidup wanita tersebut. Pemuda itu berwudhuk dan solat serta berdoa memohon ampun agar Allah mengampuni dosanya mengingati seorang perempuan. Akhirnya Allah izinkan juga pemuda itu berjumpa dengan wanita tersebut. “Assalamu’alaikum...” tegur pemuda tersebut.
“Wa’alaikumussalam...” jawab wanita tersebut.
“Maafkan saya, puan. Saya ingin bertanyakan sesuatu. Telah lama saya perhatikan puan, puan kelihatan tidak letih dan jemu mengerjakan tawaf. Puan juga kelihatan khusyuk dan tidak menghiraukan langsung orang-orang di sekitar puan. Apakah yang menyebabkan puan merasa lazat dan bersungguh-sungguh dalam mengabdikan diri kepada Allah? Saya harap puan mahu bercerita dengan saya agar saya dapat menjadikannya pedoman kelak...”
Melihat pada kesungguhan lelaki itu bertanya, wanita itu diam sebentar, dia termenuang, wajahnya tiba-tiba sedih. Lalu dia pun berkata sepatah demi sepatah.....
“Saya sebenarnya tidak suka orang tahu mengenai liku-liku kehidupan saya. Mungkin saudara tidak percaya, tapi moga cerita saya ini boleh saudara jadikan teladan pada hidup saudara kelak. Asalnya saya tinggal di perkampungan Oasis yang terletak di negeri Yaman. Saya telah berkahwin dengan suami saya 18 tahun yang lalu dan kami dikurniakan dengan 4 orang cahaya mata. Tiga lelaki dan seorang perempuan. Siti Asma’ adalah anak perempuan saya yang sulung dan sudah pun berumah tangga. Faisal berumur 10 tahun, Ikrimah berumur 8 tahun dan yang bongsu Zaid. Tapi kini semua sudah tiada lagi. Mereka telah dijemput Allah kembali padaNya. Peristiwa kematian itu berlaku ketika mereka menyambut Hari Raya Korban. Pada hari itu, suamiku menyembelih korban dan perbuatan menyembelih itu diperhatikan oleh anak kedua saya yang belum begitu cerdik. Memang menjadi kebiasaan pada anak-anak mudah meniru setiap perbuatan yang dilakukan oleh orang tuanya. Saya tidak menyangka perbuatan menyembelih itu akan dilakukan pada adiknya. Suatu hari, ketika bermain-main dengan adiknya, anak saya Faisal telah membaringkan adiknya, Ikrimah dan disembelihnya sebagaimana ayahnya menyembelih kambing. Kebetulan ketika itu kami tidak ada di rumah kerana pergi memetik buah. Saya hanya mendengar dari jauh jeritan Ikrimah yang meminta tolong. Apabila sampai, saya melihat darah memancut-mancut keluar dari lehernya yang hampir putus. Dia tidak dapat diselamatkan dan meninggal di situ juga”.
“Kami mengurus jenazah Ikrimah, setelah selesai baru kami perasan bahawa Faisal telah tiada. Mungkin dia ketakutan dan tidak menyangka semua itu boleh berlaku. Suami saya dalam keadaan yang masih terganggu fikirannya dan terkejut dengan peristiwa itu telah mengejar anak kami yang lari dengan harapan dapat menyelamatkan anak kami, Faisal dari tersesat di padang pasir dan dimakan serigala. Dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, mereka tidak juga balik. Saya masih tetap menunggu mereka dengan seribu harapan agar mereka kembali dengan selamat. Tapi nampaknya hampa. Saya yakin, kedua-duanya mati kebuluran di tengah padang pasir yang kering kontang itu. Suatu hari, sewaktu fikiran saya sedang tidak menentu mengingatkan anak dan suami, saya biarkan anak kecil saya, Zaid yang masih merangkak-rangkak bermain bersendirian.Tanpa disangka-sangka dia telah mencapai cerek air panas yang sedang menggelegak. Seluruh tubuhnya melecur akibat terjirus air panas tersebut. Menjerit melolonglah anak saya itu sehingga akhirnya ia mati. Jiran-jiran saya ramai yang datang setelah mendengar jeritan saya dan mereka sempat memberitahu anak sulung saya yang tinggal berdekatan dengan rumah saya. Siti Asma’ yang sarat mengandung terburu-buru datang ke rumahku. Apabila ia melihat keadaan adiknya yang mati kerana teruk melecur itu, dia terus pengsan kerana terkejut. Muka Siti Asma’ disapukan air tetapi dia masih tidak sedar. Bila diperiksa nadinya, ternyata dia juga telah meninggal dunia. Kedua-dua anak saya telah pulang ke rahmatullah dan jenazah mereka berdua telah selamat dikebumikan”.
“Alangkah sedihnya. Di mana lagi saya nak sandarkan hati saya ini dan ke mana saya nak bawa diri saya? Beban yang terlalu berat saya rasakan dan hanya Allah yang dapat meringankannya. Alhamdulillah, sekarang saya tenang dan CINTA serta rindu saya hanyalah untuk Allah. Saya akan taat dan berbakti hanya untuk Allah sahaja. InsyaAllah. Sedarlah wahai saudara bahawa ujian hidup datang dalam pelbagai bentuk dan ia datang tanpa diundang. Kalau ianya tidak ditempuhi dengan keimanan kepada Allah, nescaya manusia pasti karam dan tenggelam serta mati lemas di dalamnya”.
Perempuan itu mengakhiri ceritanya dan pergi meneruskan ibadahnya seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa padanya. Begitulah kisah srikandi islam yang berhadapan dengan berbagai ujian dan penderitaan dalam hidupnya. Kekuataannya hanyalah satu iaitu CINTA kepada Allah. Begitulah kekuasaan CINTA Allah.

Kisah Aisyah Bukhari (CInta Yang MEmBAWA kePADA muRTad, wal 'iyadhubillah)

Kes Aisyah Bukhari telah membuka mata banyak pihak tentang gejala murtad di negara Malaysia ini. Sekurang-kurangnya umat islam mulai sedar bahawa didikan dan asuhan agama di rumah belum mampu mengekang gejala ini. Kisah Aisyah ialah kisah CINTA yang menjerat aqidah, duka dan luka keluarganya serta semua umat islam. Aisyah yang dididik dengan acuan agama kerana keturunannya taat beragama, beliau mampu menghafal surah yasin malah mengamalkan bertudung sejak kecil lagi, dia juga mendapat pendidikan tinggi di UITM dalam bidang perakaunan. Permohonan Aisyah untuk murtad dibuat oleh Lennet Teoh Hui Leong, seorang peguam cina kristian. Permohonan itu menyatakan di perenggan 6, bertarikh 28 November di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Undang-undang negara seharusnya dikuatkuasakan lagi agar kes seperti Aisyah Bukhari, Hartina Haji Kamaruddin yang bercinta dengan Rajeswaran sehingga membuatkan ia menukarkan agamanya daripada agama islam kepada agama hindu serta Lina Joy tidak akan berleluasa.

P/s : Kedua-dua kisah di atas tadi berkaitan dengan kekuasaan perasaan cinta. Cinta berkuasa membawa kebahagiaan yang abadi di dunia dan insyaAllah di akhirat seperti kisah ummu faisal manakala cinta juga berkuasa membawa kepada kehancuran seperti yang telah terjadi dengan aisyah, hartina dan lina joy. Mereka sanggup memilih untuk murtad demi cinta mereka. Wal ‘iyadhubillah. Oleh yang demikian, berpada-padalah meletakkan cinta kita. Berfikirlah berkali-kali sebelum memberi cinta kepada manusia. Namun, berilah sepenuhnya CINTAmu kepada Allah kerana Allah pasti akan membalas CINTAmu dan ianya tidak sia-sia, insyaAllah...