Bismillahirrahmanirrahim

Setinggi-tinggi kesyukuran,puja dan puji kita panjatkan ke hadrat Allah yang sentiasa melimpahkan ni’mat dan kesejahteraan kepada makhluk dan hambaNYA. Selawat dan salam kita anjurkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam yang sentiasa mengharapkan kejayaan dan kelepasan kepada umatnya yang tercinta. Malah, kurnia dan limpah rahmat dido’akan untuk semua para syuhada’ dan para ulama’ yang meneliti dan menyambung jalan yang telah diterokai oleh baginda dan generasi ke generasi seterusnya hingga ke hari qiamat.

Thursday, April 8, 2010

Hadis 1 : Penawar hati

Maksud hadis : Daripada Abu Barzah Nadhlah bin ‘Ubaid al-Aslami radhiallahu anhu berkata : Sabda Rasulullah : “Belum berganjak lagi kedua kaki seseorang hamba (di hadapan Allah pada hari kiamat), sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang UMURNYA, untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ILMUNYA, untuk apa ia melakukannya dan akan ditanya tentang HARTANYA, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang TUBUH BADANNYA, untuk apa dibinasakannya (digunakannya).”

H.R. Tirmizi

Keterangan :

Terasa susah sekali untuk menjawab semua pertanyaan diatas. Namun, hakikatnya, pada hari itu segala pertanyaan ini mesti dijawab dengan jawapan yang benar. Manusia pasti berkata benar dan jujur pada waktu itu dan tidak ada seorang pun yang berani berdusta di hadapan Allah. Sekiranya mulut cuba berdusta, maka Allah akan menguncinya dan mempersilakan pula anggota badan yang lain untuk bercakap. Maka kaki, tangan dan seluruh anggota badan akan bercakap dengan benar untuk mengakui segala yang pernah dilakukannya di dunia dahulu seperti firman Allah dalam surah Yasin ayat 65 yang bermaksud :

“Pada hari ini, Kami akan tutup mulut mereka dan berkatalah kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu telah mereka lakukan.”

Renung-renungkanlah,
Pernahkah kita berfikir dan bermuhasabah dengan bertanyakan dahulu semua persoalan tadi terhadap diri kita semasa kita masih hidup di dunia ini lagi?

- Ke mana kita habiskan nikmat umur yang dikurniakan Allah ini kepada kita? Adakah nikmat umur yang Allah kurniakan ini menjadi asbab kita mentaati perintah Allah untuk mendapat keredhaanNya atau sebaliknya digunakan ke jalan maksiat yang mengundang kemurkaan Allah kepada diri kita?

- Bagaimana kita menggunakan nikmat ilmu yang Allah anugerahkan kepada kita? Adakah semakin bertambah ilmu kita, semakin bertambah amal kita yang membawa kita lebih mendekati Allah atau semakin berkurang amal kita dan kita semakin jauh daripada Allah walaupun nikmat ilmu yang diberikan ke atas kita bertambah?

- Dari mana sumber kita memperolehi harta kita? Halal atau Haram? Bagaimana pula kita membelanjakan harta kita yang kita perolehi? Sepatutnya kita hendaklah merancang terlebih dahulu dengan teliti sebelum berbelanja. Biarlah harta kita itu bukan hanya bermanfaat untuk kita di dunia tetapi juga di akhirat. Harta untuk simpanan diri sendiri agar dapat beribadat dengan lebih baik lagi kepada Allah dan selebihnya diinfakkan atau disedekahkan untuk bekalan akhirat kita dengan keihlasan semata-mata kerana Allah.

- Bagaimana pula dengan nikmat tubuh badan yang Allah kurniakan ini? Adakah kita menggunakannya dengan sebijak-bijaknya? Terutama sekali dalam beribadah kepada Allah sama ada ibadah khusus atau umum?

Oleh itu,
Ayuh… Jom…
Kita masih ada peluang untuk berubah, seperti peribahasa melayu, di mana ada kemahuan, disitu pasti ada jalannya… semoga berjaya,insyAllah. Bulatkan tekad untuk berubah kerana Allah.
(Dipetik dan diubahsuaikan sedikit daripada Buku 40 hadis Penawar Hati)

No comments:

Post a Comment