Bismillahirrahmanirrahim

Setinggi-tinggi kesyukuran,puja dan puji kita panjatkan ke hadrat Allah yang sentiasa melimpahkan ni’mat dan kesejahteraan kepada makhluk dan hambaNYA. Selawat dan salam kita anjurkan kepada Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wassalam yang sentiasa mengharapkan kejayaan dan kelepasan kepada umatnya yang tercinta. Malah, kurnia dan limpah rahmat dido’akan untuk semua para syuhada’ dan para ulama’ yang meneliti dan menyambung jalan yang telah diterokai oleh baginda dan generasi ke generasi seterusnya hingga ke hari qiamat.

Tuesday, March 16, 2010

Watch out…!!!

Cuba bayangkan apabila anda tidak dipandang dan tidak diambil peduli oleh seorang pun manusia di muka bumi ini termasuk orang yang anda sayangi… Apa agaknya yang anda rasakan saat perkara itu terjadi dalam kehidupan anda?? Sedih..?? Kecewa..??

Anda juga pasti akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri anda agar anda dipandang orang dan anda dihargai oleh mereka bukan?? Pernah seorang adik bertemu dengan ana dan mengatakan bahawa dia terasa asing dan dipinggirkan oleh kawan-kawan sekelasnya di sekolah. Pada waktu itu, air mata adik tersebut tidak berhenti dan berterusan mengalir membasahi pipinya.


Dipinggirkan dan tidak dipandang oleh manusia sahaja pun telah membuatkan kita berasa sangat sedih. Tetapi, terlupakah kita bahawa kita masih sangat beruntung kerana kita masih dipandang Allah andai kita masih berpegang teguh dengan agama Islam dan membudayakan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian kita. Mungkin hal ini terjadi kerana pada waktu itu Allah nak kita renung kembali perjalanan hidup kita yang lalu. Mungkin kerana terlalu menjaga perasaan manusia sehinggakan kita membenarkan atau membolehkan perkara yang dilarang oleh Allah. Natijahnya, perbuatan kita itu akan mengundang kemurkaan Allah. Kita perlu ingat bahawa Allah itu pemilik hati kita yang bolak balik ini. Allah berkuasa ke atas hati seseorang.

Apabila Allah murka kepada seseorang hambaNya ,beerti Allah tidak redha padanya. Apabila Allah tidak redha pada dirinya, semua manusia juga tidak akan redha padanya. Kesannya, tiada seorang pun yang memandang pada kita. Lagi menyayat hati dan menyedihkan apabila kita tidak dipandang oleh Allah kerana kita membelakangi apa yang disuruh oleh Allah semata-mata ingin menjaga hati manusia dengan mendahulukan arahan manusia. Ana bawakan kata-kata Malik bin Dinar yang berbunyi seperti ini :
“Buatlah apa yang Allah suka walaupun orang ramai membenci perbuatanmu itu. Jangan buat apa yang orang ramai suka kerana takut-takut Allah membenci perkara tersebut”.



Moga kata-kata Malik bin Dinar itu mendorong kita untuk mengatakan perkara yang benar dan memastikan setiap perbuatan kita itu berlandaskan apa yang terkandung dalam Al-Qur’an dan hadith. Tegaslah dalam sesuatu perkara dengan mengatakan yang HAK tetap HAK (yang benar tetap benar) dan yang BATIL tetap BATIL (yang salah tetap salah). Janganlah dicampuradukkan kedua-duanya kerana yang HAK (kebenaran) itu jelas dan yang BATIL (kesalahan) itu juga jelas.

Persoalannya, bagaimana agaknya kita ingin dipandang oleh Allah? Tahukah kita bahawa HATI merupakan salah satu tempat pandangan Allah terhadap hambaNYA? Hati merupakan tapak semaian iman. Apabila keimanan telah bertapak dalam hati seseorang manusia, ianya akan diterjemahkan dalam bentuk amalannya kepada Allah seperti solat yang khusyuk. Selain itu, hati juga merupakan raja bagi seluruh anggota badan seperti sabda Rasulullah yang membawa maksud :
“PERHATIKAN! Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada seketul daging ; apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila ia rosak maka akan rosaklah sekalian anggota badan. Ketahuilah, itulah yang dikatakan HATI.

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Maka hati yang baik akan mendorong anggota badannya untuk berbuat kebaikan. Manakala, hati yang rosak akan mendorong anggota badannya untuk berbuat kerosakan serta kemaksiatan. Oleh itu, maka tidak hairanlah musuh manusia iaitu iblis dan syaitan menjadikan hati manusia sebagai sasarannya untuk menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran. Kedua-dua musuh manusia ini akan berusaha untuk selalu menggoda hati manusia dengan membisikkan kepadanya suatu kesenangan atau kebahagiaan duniawi ini.

Sedikit demi sedikit kedua-dua musuh manusia ini memanfaatkan nafsu dan syahwat yang telah sedia ada dalam hati manusia sebagai kesempurnaan fitrahnya dengan cara menyalahgunakannya. Apabila hati seseorang manusia telah berjaya digoda oleh iblis dan syaitan, matanya telah tertutup dengan bayangan kelazatan nafsu dan syahwat sehingga manusia tersebut sanggup melupakan Allah iaitu Tuhan yang telah menciptakannya. Manusia tersebut akan semakin berani untuk membuat maksiat yang mengakibatkan satu titik hitam telah mengotori hatinya. Inilah natijah bagi manusia yang lalai daripada mengingati Allah dan tidak merasakan kewujudan Allah yang Maha Melihat.

Lebih membimbangkan lagi apabila manusia bersikap ‘acuh tak acuh’ terhadap kewujudan titik hitam yang mengotori hatinya itu. Kotoran itu akan mendap di dalam hatinya kerana tidak ada usaha yang dilakukan oleh manusia tersebut untuk membersihkannya kembali. Sebaliknya, manusia tersebut sering melakukan maksiat yang mendatangkan dosa dari sekecil-kecil dosa sehinggalah menjadi dosa besar yang menyebabkan kekotoran dalam hatinya semakin bertambah teruk dan akhirnya iblis dan syaitan berjaya menguasai hati manusia tersebut. Nah, apabila hati telah berjaya ditawan oleh syaitan dan iblis, maka hati akan merasa seronok untuk mengerjakan maksiat sehingga sampai ke tahap merasakan bangga untuk melakukannya berulang-ulang kali.

Hati sebeginilah yang dikatakan hati yang keras dan hati yang terlalu sakit. Jenis hati ini sangat susah untuk diubati. Namun, peluang untuk merawatnya masih ada. Pintu taubat masih lagi terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang benar-benar mengharapkan keampunan. Titik hitam yang mengotori hati masih dapat dibersihkan dengan air taubat asalkan pesakit bersedia untuk bertaubat dan dirawati. Apa yang pasti sepanjang proses penyembuhan atau pembersihan hati itu semula, sudah semestinya pesakit tersebut perlu menjaga pantang larang yang boleh merosakkan hatinya kembali.

Manusia akan segera berjumpa dengan doktor apabila jasmaninya diserang penyakit ataupun luka untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang sekiranya penyakit ataupun luka tersebut merebak ke seluruh anggota badan yang boleh membawa kepada kematian yang memisahkan manusia dari segala jenis kelazatan dan kebahagian di dunia. Namun, amat menyedihkan apabila majoriti manusia pada hari ini tidak memberi perhatian apabila rohaninya diserang penyakit sedangkan penyakit yang ada dalam hati inilah yang lebih mustahak dan lebih utama untuk mendapat rawatan yang rapi. Hal ini kerana jikalau kita biarkan penyakit rohani ini berterusan dan kita tidak mahu membuat rawatan, manusia bukan sahaja terpisah dari kelazatan dan kebahagiaan yang bersifat sementara di dunia tetapi menusia itu juga akan terpisah dengan kelazatan dan kebahagiaan yang kekal abadi di syurga.


Lihatlah! Betapa besar natijahnya apabila hati menjadi rosak dan kotor. Hati yang sesat dan telah berjaya dipesongkan oleh syaitan dan iblis ini akan melakukan maksiat yang berterusan dan manusia tersebut menjadi sangat rugi apabila kematian menjemput pada waktu manusia tersebut belum pun sempat untuk bertaubat. Na’uzubillahi min zalik. Oleh itu, marilah kita memeriksa hati kita masing-masing, apakah hati kita sihat atau hati kita berpenyakit? Adakah selama ini hati kita menjadi tempat semaian iman yang mantap dan menjadi sumber kekuatan yang dapat mendorong untuk kita berbuat kebaikan atau hati kita telah menjadi sarang iblis dan istana syaitan yang telah menjadi sumber kekuatan yang selalu mendorong untuk kita melakukan dosa serta kemaksiatan?

Cubalah kita sentuh hati kita masing-masing dan bertanya kepada diri sendiri sejauh mana keta’atan kita kepada Allah… Sudahkah kita merancang untuk masa depan kita di akhirat nanti seperti kita merancang masa depan kita di dunia ini? Adakah kita sudah berasa cukup dengan persiapan yang telah kita sediakan untuk menghadapi kematian yang akan menemui kita pada bila-bila masa sahaja? Ayuhlah, kita bersiap sedia sebelum terlambat dan bertaubat disaat pintu taubat masih terbuka luas dan masih bersedia untuk menerima taubat hamba-hamba Allah yang ikhlas mengharapkan keampunan Allah.
Marilah kita berusaha untuk mengubati hati dan membersihkan jiwa daripada ‘akhlak mazmumah’ (sifat-sifat yang tercela) serta hiasilah hati kita dengan ‘akhlak mahmudah’ (sifat-sifat terpuji) dengan mencontohi keperibadian Rasulullah dan cintailah baginda agar kita tergolong dalam golongan umat baginda yang mendapat syafaat baginda kelak.

Bertemakan penulisan kali ini iaitu watch out, marilah kita bersama-sama menjaga hati kita dan berusahalah mencari penawarnya di kala hati merasa sakit kerana ketahuilah hati manusia perlu kepada penawar dan penawarnya apabila manusia bertaubat serta berjinak-jinak dengan pemilik hati iaitu Allah. Ingatlah! Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Dalam surah Asy-Syu’ara ayat 88-89 yang bermaksud :
“Pada hari itu (hari kiamat) sudah tidak berguna lagi harta benda dan anak-pinak kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang sihat (bersih)”.



InsyAllah, pada penulisan akan datang, ana akan kupas satu-persatu buku 40 hadis penawar hati untuk kita sama-sama mengubati hati kita dan memperbaikinya dengan merenung serta membaca hadis-hadis penawar hati tersebut. Jangan lupa ikuti penulisan akan datang, insyAllah.

Friday, March 5, 2010

Allah knows..


Alhamdulillah, ana masih sempat berkongsi sebuah lagi penulisan pada kali ini. Semoga perkongsian ini bermanfaat bagi ana dan pembaca blog ana ini. Dengan bertemakan Allah knows, ana ingin kongsikan betapa hebatnya perancangan Allah. Mengimbas kembali memori yang lalu, pada waktu itu, seorang demi seorang rakan sekelas ana dahulu menelefon ana bertanyakan perancangan ana selepas ini. Maklumlah, result SPM baru sahaja diumumkan.

Qada’ dan qadar Allah telah menempatkan ana untuk meneruskan pengajian sebagai pelajar tingkatan 6 ataupun pelajar Pra-U. Ana memaklumkan keputusan ana itu kepada rakan-rakan ana. Ternyata pada saat itu, majoriti mereka tidak menggalakkan ana meneruskan niat ana untuk masuk tingkatan 6. Masih terngiang-ngiang lagi suara rakan ana yang pada waktu itu mengusik jiwa ana. Hampir sahaja ana terpengaruh dek kerana kata-katanya itu. “Ambil tingkatan 6? Susah sangat tu. STPM merupakan exam kedua tersusah di dunia tau. Kau yakinkah dapat lulus? Better lagi kau ambil diploma atau apa jugalah. Yang penting, jangan masuk form 6! ”.
Lebih kurang begitulah reaksi rakan-rakan ana saat ana memberitahu mereka bahawa ana memilih tingkatan 6 sebagai medan perjuangan akademik ana untuk merealisasikan hasrat ke universiti. Percakapan mereka itu ternyata berjaya mempengaruhi ana sedikit sebanyak sehinggakan ana memikirkannya semula. Alhamdulillah, Allah kuatkan semangat ana. Selain mendapat sokongan keluarga, seorang sahabat kesayangan ana memberikan ana motivasi melalui kata-katanya.

“Hmm, akak yakin izzati boleh,insyAllah. Tiada perkara yang senang di dunia ini. Semuanya menuntut pengorbanan. Kejayaan akan tercapai jika kita doa+usaha+ikhtiar+tawakal, insyAllah. Izzati nak tahutak? Di universiti, pelajar lepasan tingkatan 6 adalah pelajar yang sentiasa mempunyai idea-idea yang bernas memandangkan ketika berada di tingkatan 6, mereka telah belajar terlebih dahulu pelajaran yang bakal diajar ketika di universiti. Pendek kata pelajar tingkatan 6 juga ada kelebihannya. Izzati perlu sedar bahawa hakikatnya Allah maha mengetahui yang terbaik buat kita ”.

Itulah salah satu peranan seorang sahabat. Sahabat akan membantu membawa kita ke arah yang positif dan membimbing kita kembali mendekati Allah tatkala kita mulai menjauh dari jalan yang diredhai Allah. Sahabat yang sebeginilah merupakan sahabat yang baik dan seharusnya kita hargai kehadirannya dalam perjalanan hidup kita. Tapi perlu diingat! Semua ini berlaku dengan izin Allah jua. Kekuasaan Allah mengatasi segalanya. Sepanjang perjalanan ana menyusuri pembelajaran di tingkatan 6, hanya Allah yang mengetahui. Beberapa bulan sebelum menempuhi STPM kawan sekelas ana berjumpa dengan ana dan berkata “Rasanya kita tidak mampu menghadapi STPM ini”. Namun, kata-kata itu tidak melemahkan semangat ana. Sepanjang pengajian di tingkatan 6 dan menjelang STPM, formula DUIT iaitu doa+usaha+ikhtiar+tawakal ana aplikasikan.

Alhamdulillah, benarlah perancangan Allah itu lebih baik dan sempurna jika dibandingkan dengan perancangan kita sebagai hambaNya. Apa yang penting, DUIT perlu diaplikasikan. Kita juga hendaklah membantu agama Allah dengan seikhlasnya. InsyAllah, Allah akan bantu kita dan memudahkan perjalanan hidup kita. Fa’iza ‘azamta fatawakkal ‘alallah (setelah berazam/berusaha, kita bertawakal kepada Allah). Kepada rakan-rakan sekelas ana (semua pelajar tingkatan 6), tahniah dan syabas atas kejayaan yang diperolehi. Moga dengan kejayaan itu tidak menjadikan kita sombong kepada Allah. Sebaliknya, ingatlah kejayaan pada hari ini merupakan anugerah Allah atas kesabaran dan usaha yang berterusan. Moga ianya menjadikan kita lebih bersemangat untuk berjaya demi menaikkan martabat agama yang kita anuti iaitu agama Islam yang tercinta. Kepada rakan-rakan yang mendapat keputusan yang bukan seperti apa yang diimpikan malah jauh daripada apa yang disasarkan, banyakkanlah bersabar dan paling penting, husnu zhonlah @ bersangka baiklah kepada Allah.

Allah tidak akan menzalimi hambaNya. STPM bukanlah noktah kepada pengakhiran hidup kita. Masih banyak perkara yang harus kita fikirkan. Kuatkan tekadmu dan hilangkan kegusaranmu, insyAllah, innallaha ma’ana (sesungguhnya Allah bersama kita). Kepada adik-adik yang bakal memperolehi keputusan SPM beberapa hari lagi, moga reda dengan apa jua yang bakal diperolehi. Yakinlah, Allah knows what is the best for us, insyAllah. Adik-adik ingatlah maksud surah muhammad ayat 7 dan bacalah berulang-ulang kali semasa dalam perjalanan mengambil keputusan. Moga apa-apa juga keputusan yang bakal diperolehi terbaik untuk diri sendiri dan paling penting untuk agama kita iaitu agama Islam.

Sebelum mengakhiri artikel ana, renungilah kata-kata ini wahai sahabat-sahabatku sekalian,


‘If Allah answer your prayer, Allah increasing your faith,if Allah delays them, Allah increasing your patience, if Allah doesn’t answer, Allah has better plans for you in the future….
‘Sometimes Allah breaks our spirit to save our soul. Allah breaks our heart to make us whole. Allah send us failure to make us humble. Allah send us illness so we can take care of ourselves. Sometimes Allah takes away everything from us so we can learn the value of everything that Allah has been given us…remember Allah is great!..’

Renungkanlah pula sabda rasulullah…‘Nabi bersabda : Aku berasa hairan terhadap orang yakin kepada KEMATIAN tetapi ia masih terus BERGEMBIRA, aku hairan kepada orang yang yakin tentang NERAKA tetapi masih KETAWA, aku hairan terhadap orang yang meyakini QADAR ketentuan Allah tetapi masih KECEWA..’(Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Marilah kita anjakkan paradigma dan lakukan perubahan agar menjadi insan yang lebih cemerlang sekaligus dapat memartabatkan nama Islam semula dengan kecemerlangan kita itu. Bagaimana caranya nak berubah? Aplikasikanlah formula 3M iaitu :
M = Mulai dari DIRI SENDIRI
M = Mulai dari PERKARA KECIL tapi dilakukan secara berterusan
M = Mulai dari SAAT INI

Bulatkan tekad dan niat kita dalam melakukan apa sahaja kerana Allah. Peringatan bersama juga sebagai umat islam dan penggerak kerja da’wah, akhlak kita mesti dijaga serta apa jua aspek termasuk akademik. Jangan sampai ia menjadi fitnah kepada Islam. Kita perlu sedar bahawa kita tidak akan pernah terlepas daripada pandangan Allah. Wujudkanlah rasa takut dan pada masa yang sama sentiasa mengharap keampunan serta redho Allah. Hal ini akan mengelakkan kita daripada terjerumus ke lembah maksiat yang menjadikan kita hina pada pandangan Allah.

Amalkanlah bacaan ini ‘Allahu ma’iyy, Allahu nadzirun ilayya, Allahu shahidi ’ yang bermaksud ‘Allah bersamaku, Allah melihatku, Allah menyaksikanku’. Selain itu, apabila kita mendapat pujian daripada orang, kita bacalah doa yang dibaca oleh saidina Ali yang bermaksud ‘ Ya Allah, janganlah Engkau salahkanku dengan apa yang mereka katakan. Jadikanlah diriku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan dan ampunkanlah diriku terhadap perkara-perkara yang mereka tidak tahu’. Ertinya, apabila kita dipuji sebenarnya kita dipuji bukan kerana kelebihan yang ada pada diri kita tetapi kerana Allah menutupi segala kelemahan yang ada pada kita.

Oleh itu, hati-hatilah dalam membuat sesuatu perkara kerana apa sahaja yang akan kita lakukan, Allah knows…